Penyakit Buah Pinggang Kronik/Chronic kidney disease (CKD) terjadi apabila buah pinggang tidak lagi boleh membersihkan toksin dan bahan kumuh yang terdapat di dalam darah. Keadaan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau juga secara berperingkat dalam satu jangka masa yang lama.

Salah satu perkara yang anda perlu ketahui adalah, penyakit buah pinggang ini mempunya pelbagai peringkat dan mengetahui peringkat mana penyakit anda adalah penting untuk menentukan cara rawatan anda. CKD mempunyai lima peringkat, bermula dengan peringkat 1 di mana buah pinggang masih berfungsi secara hampir kepada biasa, kepada peringkat 5 kerosakan dan dikenali sebagai peringkat akhir penyakit buah pinggang/end stage renal disease (ESRD). Pada peringkat ini, buah pinggang pesakit hanya berfungsi sebanyak 10-15 peratus sahaja daripada kapasiti biasa dan pesakit perlu menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Pada kebanyakan kes, ESRD (peringkat 5) hanya berlaku bertahun-tahun setelah pesakit menghidapi penyakit buah pinggang. Namun terdapat juga kes di mana buah pinggang berhenti berfungsi secara tiba-tiba dan keadaan ini dikenali sebagai ‘acute kidney failure’. Tidak kira yang mana keadaan anda, sekiranya anda telah didiagnos dengan ESRD, maka adalah perlu untuk anda menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang agar anda dapat menjalani kehidupan yang sihat. Di DaVita kami ada menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan gaya hidup anda.

Terdapat pelbagai cara untuk merawat ESRD (peringkat 5). Rawatan yang sering dilakukan adalah dialisis. Sekiranya anda dan pakar nefrologi anda bersetuju untuk memilih pemindahan buah pinggang sebagai cara untuk merawat ESRD, kemungkinan anda masih perlu menjalani dialisis sementara menunggu untuk mendapatkan buah pinggang daripada penderma yang bersesuaian.

 

Memahami Buah Pinggang Anda

Memahami bagaimana buah pinggang anda berfungsi merupakan langkah pertama di dalam mengawal keadaan kesihatan anda. Apabila anda menjaga pemakanan anda, tidak merokok, mengawal penyakit kencing manis, mengawal tekanan darah tinggi anda, ia dapat membantu buah pinggang anda untuk berfungsi dengan baik dan lebih lama, walaupun anda menghidapi penyakit buah pinggang. Buah pinggang memainkan peranan yang penting di dalam mengatur kesihatan tubuh badan anda. Mereka membentuk sistem penapisan badan, membersihkan bahan kumuh dan mengeluarkan lebihan air daripada badan anda, di samping menghasilkan satu siri bahan kimia yang diperlukan oleh badan anda.

 

Bolehkah Anda atau Orang Tersayang Anda Berhadapan dengan Risiko CKD?

Faktor risiko adalah seperti berikut:

  • Kencing manis
  • Tekanan darah tinggi
  • Penyakit berkaitan Jantung
  • Sejarah penyakit buah pinggang oleh ahli keluarga
  • Berumur 55 tahun ke atas

Sekiranya anda berkemungkinan mempunyai risiko penyakit buah pinggang, anda dinasihatkan agar membuat temu janji dengan pakar perubatan anda untuk mendapatkan saringan buah pinggang.

Apakah Gejala Penyakit Buah Pinggang?

Mengetahui gejala penyakit buah pinggang dapat membantu individu mengesan penyakit berkenaan pada peringkat awal agar rawatan awal dapat dilakukan. Gejala penyakit ini adalah antara lain seperti berikut:

  • Perubahan pembuangan air kencing—Pembuangan air kencing di dalam keadaan yang lebih kerap atau kurang daripada kebiasaannya, merasai tekanan ketika hendak membuang air kencing, perubahan pada warna air kencing, perubahan pada keadaan air kencing di mana air kencing anda berbuih dengan banyak, atau kerap bangun malam untuk membuang air kencing.
  • Bengkak pada kaki, buku lali, tangan atau muka—cecair yang tidak dapat dikeluarkan oleh buah pinggang boleh berkumpul pada tisu badan.
  • Keletihan dan tidak bermaya—Pengumpulan toksin atau kekurangan sel darah merah (anemia) boleh mengakibatkan masalah ini apabila buah pinggang mula untuk tidak berfungsi sepenuhnya.
  • Sesak nafas—Buah pinggang kadangkala keliru dengan penyakit asma atau penyakit jantung kerana cecair berkumpul di paru-paru.
  • Nafas berbau amonia atau mulut rasa seperti besi—Pengumpulan bahan kumuh di dalam badan boleh mengakibatkan nafas berbau busuk, perubahan kepada deria rasa atau hilang selera terhadap makanan yang kaya dengan protein seperti daging.
  • Sakit di bahagian belakang atau tepi—Buah pinggang terletak di kedua bahagian bawah tulang belakang.
  • Gatal-gatal—Pengumpulan bahan kumuh boleh mengakibatkan badan anda mengalami kegatalan terutamanya di bahagian kaki.
  • Kurang selera makan.
  • Loya dan muntah-muntah.

Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda dinasihatkan agar mendapatkan rundingan dan pemeriksaan daripada pakar perubatan anda, terutamanya jika anda mempunyai penyakit kencing manis, ataupun mempunyai tekanan darah tinggi, yang menjadi punca utama masalah kegagalan buah pinggang, atau juga sekiranya anda mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi penyakit buah pinggang.

Bagaimana Saya Boleh Ketahui Sekiranya Saya Mempunyai Penyakit Buah Pinggang?

Penyakit buah pinggang boleh dikesan dan dipastikan dengan ujian makmal. Buah pinggang anda akan disahkan rosak sekiranya keputusan ujian darah anda menunjukkan kadar kretinin yang tinggi dan kadar protein di dalam air kencing anda juga menunjukkan bacaan yang tinggi. Pesakit kencing manis haruslah membuat pemeriksaan air kencing setiap tahun untuk mengesan sama ada terdapat mikro albumin, iaitu jumlah protein yang halus yang tidak dapat dikesan dengan hanya menjalankan ujian air kencing biasa.

 

Sekiranya Saya Mempunyai Tanda-tanda Penyakit Buah Pinggang, Apa yang Perlu Saya Lakukan?

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda penyakit buah pinggang setelah anda menjalani pemeriksaan, anda anda dirujukkan kepada pakar nefrologi, iaitu pakar di dalam bidang penyakit buah pinggang. Pakar nefrologi akan menjalankan penilaian untuk menentukan tahap kerosakan buah pinggang anda sebelum beliau memberi cadangan berkaitan dengan perubatan yang bersesuaian dengan gaya hidup anda. Anda juga mungkin akan dicadangkan supaya mengubah gaya hidup anda untuk melambatkan kadar kemajuan penyakit buah pinggan anda.

 

Peringkat Penyakit Buah Pinggang

Apabila anda menghidapi CKD, kedua-dua buah pinggang anda tidak akan gagal berfungsi pada masa yang sama. Fungsi buah pinggang akan berkurangan sedikit demi sedikit dan memakan masa bertahun lamanya. Ini merupakan berita baik kerana apabila CKD dikesan pada peringkat awal, ubat dan perubahan gaya hidup mungkin dapat membantu melambatkan perkembangan penyakit ini. Penyakit buah pinggang terbahagi kepada 5 peringkat, di mana setiap peringkat memerlukan ujian dan rawatan yang berlainan.

Apakah 5 Peringkat Penyakit Buah Pinggang?

Penyakit buah pinggang kronik mempunyai 5 peringkat. Peringkat 1 adalah peringkat di mana buah pinggang masih boleh berfungsi hampir seperti kadar fungsi yang sihat manakala Peringkat 5 adalah peringkat di mana pesakit perlu melakukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

GFR adalah merujuk kepada kadar penapisan glomerular, yang akan menganggarkan peratusan fungsi buah pinggang. Sekiranya GFR anda menunjukkan bacaan 26, ini bermakna buah pinggang anda bekerja pada kadar 26 peratus daripada kadar biasa.

 

RENDAH

PERINGKAT 1, GFR > 90

PERINGKAT 2, GFR 89-60

  • Kerosakan buah pinggang pada kadar kehilangan fungsi yang rendah
  • Sedikit atau tiada gejala
  • Dikawal melalui pemakanan yang sihat dan pengaturan tekanan darah yang stabil

 

PERTENGAHAN

PERINGKAT 3A, GFR 59-45

PERINGKAT 3B, GFR 44-30

  • Mungkin akan mengalami kelesuan, perubahan pembuangan air kencing, sukar untuk tidur dan sakit pada buah pinggang
  • Anda boleh berbincang dengan doktor anda mengenai pemakanan yang bersesuaian dengan buah pinggang anda untuk peringkat ini, bagaimana untuk mengawal tekanan darah tinggi anda dan mendapatkan perubatan yang bersesuaian

TERUK

PERINGKAT 4, GFR 29-15

  • Mungkin akan mengalami tekanan darah tinggi, anemia, penyakit tulang atau penyakit berkaitan jantung
  • Gejala termasuklah berasa lesu, loya, perubahan kepada deria rasa, mengalami masalah saraf, sukar untuk tidur, kurang selera makan dan kurang bertenaga
  • Anda harus berjumpa dengan pakar buah pinggang untuk membantu anda menguruskan penyakit anda dengan lebih baik dan anda boleh juga bertanya dengan lebih lanjut mengenai pemindahan buah pinggang
  • Pakar pemakanan dapt membantu anda di dalam pengurusan makanan yang bersesuaian dengan peringkat penyakit anda

 

PENYAKIT BUAH PINGGANG PERINGKAT AKHIR/END STAGE RENAL DISEASE (ESRD) 

PERINGKAT 5, GFR < 15

  • Menunjukkan gejala seperti hilang selera makan, loya, gatal-gatal, bengkak dan menghasilkan air kencing yang sedikit atau tiada air kencing
  • Rawatan pilihan termasuklah dialisis dan pemindahan buah pinggang

Kehidupan anda mungkin akan berubah apabila anda mengidap CKD, namun anda masih boleh menikmati kehidupan yang berkualiti dengan membuat perubahan sedikit demi sedikit bersesuaian dengan penyakit yang anda hadapi. Berikut adalah antara beberapa cadangan yang boleh anda ikuti untuk mendapatkan kehidupan yang berkualiti walaupun anda menghidapi penyakit buah pinggang:

  • Pelajari sebanyak yang boleh mengenai penyakit buah pinggang terutamanya yang berkaitan dengan keadaan anda. Anda boleh bekerjasama dengan pasukan jagaan anda untuk mencari jalan bagaimana maklumat yang anda perolehi dapat digunapakai terhadap kedaan anda.
  • Yakin akan kebolehan anda di dalam menangani penyakit ini! Anggapkan penyakit ini sebagai satu cabaran untuk anda. Jangan lupa bahawa terdapat ramai orang yang akan membantu anda menjalani kehidupan harian. Terdapat juga banyak sumber informasi yang boleh anda kumpul dan praktikkan agar kehidupan anda tetap berjalan dengan lancar walaupun anda mengidap CKD.
  • Pelajari segala yang berkaitan dengan ubat-ubatan anda, dos yang tepat dan nama dan fungsi ubat yang perlu anda makan. Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh diambil untuk membantu mengawal tekanan darah tinggi, di samping dapat melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang anda. Anda boleh bertanya kepada doktor anda mengenai ubat yang sesuai dengan anda.
  • Simpan setiap ujian makmal anda agar anda boleh jadikan rujukan untuk rekod kesihatan anda. Pasukan kesihatan anda memang mahir mengenai penyakit buah pinggang tetapi anda lebih mengetahui diri anda sendiri.
  • Sekiranya anda tidak faham atau berasa was-was tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan penyakit ini, atau anda berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri anda, jangan malu untuk bertanya kepada doktor atau pasukan kesihatan anda. Cuba cari jalan penyelesaian untuk memperbaiki kesihatan anda.
  • Jangan lupa untuk meneliti akan segala gejala CKD yang mungkin anda alami dan laporkan kepada doktor anda sekiranya anda mengalami mana-mana gejala berkenaan. Sesetengah masalah seperti badan berasa lesu, boleh dirawat agar anda berasa sihat.
  • Bincang bersama doktor dan pakar pemakanan anda mengenai panduan pemakanan yang bersesuaian dengan keadaan buah pinggang anda. Cuba ikuti panduan pemakanan yang telah dirangka untuk anda dan lihat bagaimana ia boleh mempengaruhi keputusan ujian makmal anda kemudian.
  • Kerap lakukan senaman ringkas yang bersesuaian dengan keadaan kesihatan anda. Bincang bersama doktor anda akan tahap senaman yang boleh anda lakukan.
  • Jangan berhenti kerja, sekiranya tidak perlu. Walaupun anda terpaksa mengambil cuti dengan kerap, cuba untuk sesuaikan diri dengan keadaan yang baharu ini. Sekiranya kerja sepenuh masa sudah tidak sesuai dengan keadaan anda, cuba untuk bekerja secara sambilan kerana apabila anda bekerja, anda akan lebih aktif.
  • Buat kajian dan perancangan untuk keadaan kewangan anda berdasarkan penyakit buah pinggang anda kini. Anda boleh mendapat bantuan daripada pekerja sosial dan organisasi pesakit buah pinggang sekiranya anda memerlukan fakta kewangan yang lebih tepat dan mendalam berkaitan dengan penyakit ini.
  • Cari tekanan darah sasaran anda dan bincang dengan doktor anda untuk mencapai sasaran tersebut  dan pastikan agar anda kekalkan bacaan pada tahap yang telah ditentukan kerana kajian telah menunjukkan bahawa dengan mengekalkan tekanan darah pada tahap yang terkawal, ia akan melambatkan perkembangan proses kerosakan buah pinggang anda.
  • Sekiranya anda mengidap penyakit kencing manis, pengawalan tahap gula di dalam darah boleh membantu melambatkan proses kerosakan buah pinggang anda. Sekiranya anda tidak pasti bagaimana untuk mengawal kadar gula di dalam darah, anda boleh meminta agar doktor anda merujuk masalah anda kepada pakar di dalam penyakit kencing manis.
  • Sentiasa peka kepada sebarang komplikasi penyakit buah pinggang seperti anemia, asidosis metabolic, penyakit berkaitan tulang, penyakit berkaitan jantung, lebihan cecair dan kadar potassium dan fosfurus yang tinggi. Setiap penyakit ini boleh dikesan dengan ujian yang bersesuaian dan anda dapat mengelakkan sebarang komplikasi ini sekiranya anda peka akan segala gejala berkaitan dengan penyakit ini.
  • Sekiranya penyakit buah pinggang anda berada pada tahap yang teruk, anda harus membuat keputusan sama ada untuk masukkan nama ke dalam senarai penerima pemindahan buah pinggang, atau mungkin anda mempunyai penderma yang sanggup dan sesuai untuk menderma buah pinggang mereka kepada anda.
  • Sekiranya anda sedang mendapatkan rawatan dialisis, pastikan anda ikut segala arahan doktor. Bincang dan bekerjasama dengan pasukan jagaan anda agar anda kekal sihat. Pantau bacaan Kt/V atau URR anda (kadar kiraan tahap kebersihan darah) dan lain-lain ujian makmal yang harus anda jalani. Sekiranya keputusan makmal tidak memuaskan, cari jalan bagaimana anda boleh perbaiki diri anda untuk ujian seterusnya.
  • Sekiranya anda menjalani pemindahan buah pinggang, ambil ubat tepat pada masa yang telah ditentukan. Anda harus peka akan tanda-tanda jangkitan kuman, atau sebarang penyakit berbangkit yang berpunca daripada pembedahan yang baru anda jalani.
  • Anda harus juga peka terhadap emosi anda. Beri masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan anda kini kerana anda kini berhadapan dengan masa depan yang tidak pasti dan sedang mengalami perubahan kepada cara hidup dan perhubungan dengan orang sekeliling. Oleh itu, adalah biasa untuk anda berasa sedih dan keliru ketika menghadapai situasi yang baharu ini.
  • Hargai kehidupan anda; lakukan perkara yang boleh membangkitkan semangat dan memberi kegembiraan kepada diri anda.