Bantuan Malaysia Membantu Hospital di dalam Usaha Menangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 November 2021 – Pusat dialisis terkemuka DaVita Malaysia telah menyumbangkan sebanyak 600,000 pelitup muka kepada lapan hospital kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia. Sumbangan ini merupakan yang julung kalinya memandangkan jumlah bekalan pelitup muka yang dibekalkan pada kali ini adalah sebanyak satu kontena perkapalan, untuk kegunaan selama sebulan kepada 10,000 pekerja di industri kesihatan dan juga para pesakit di negara ini.

Di dalam usaha untuk mengawal penyebaran COVID-19, DaVita Malaysia telah mengedarkan bekalan berkenaan di Hospital Melaka, Hospital Serdang, Hospital Selayang, Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Hospital Sultanah Aminah JB, Hospital Sultan Ismail JB, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Memandangkan kerajaan Malaysia telah mengekalkan mandat mengenai keperluan memakai pelitup muka di tempat-tempat awam, bagi tujuan mengawal penularan COVID-19, adalah wajar bagi pihak hospital untuk mempunyai bekalan pelitup muka yang berkualiti tinggi dengan kuantiti yang banyak. Tindakan ini sejajar dengan panduan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia untuk mengekalkan penggunaan pelitup muka di negara ini sehingga tempoh yang akan ditentukan kemudian. Inisiatif ini dijalankan sebagai tanda sokongan padu DaVita Malaysia terhadap Perdana Menteri kita..

“Para pejuang barisan hadapan kita telah bertungkus lumus tanpa jemu selama lebih kurang dua tahun kebelakangan ini untuk melindungi negara kita. Kami merasakan bahawa ini merupakan cara yang terbaik untuk menunjukkan sokongan kami, memandangkan pelitup muka yang berkualiti adalah salah satu cara yang berkesan di dalam membantu mengurangkan penyebaran COVID-19,” jelas Matt Williams, CEO DaVita Malaysia.

Usaha amal oleh DaVita Malaysia ini turut mendapat sokongan daripada Nipro Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal barangan perubatan dan kesihatan di Malaysia, di mana syarikat ini turut memberi sumbangan dari segi membekalkan sumber penyimpanan dan logistik.

Selain daripada itu, DaVita Malaysia telah menunjukkan komitmen terhadap keselamatan komuniti setempat dengan bersikap proaktif di dalam memastikan kejayaan kempen vaksinasi negara. Setakat ini, sebanyak 98% daripada jumlah pesakit DaVita Malaysia telah berjaya menerima kedua-dua dos vaksinasi COVID-19. “Kami berpegang kepada konsep ‘Community First and Company Second.’

Kami telah menganggap diri kami sebagai sebahagian daripada komuniti di ‘Village,’ di mana kami akan membantu bukan sahaja sesama sendiri malah para pesakit kami dan juga masyarakat di sekitar kami,” tambah Matt Williams.

DaVita Malaysia telah membantu keperluan perubatan terhadap lebih kurang 2,000 pesakit dialisis di 40 pusat perubatan DaVita di seluruh Malaysia. Pesakit buah pinggang peringkat akhir (End Stage Renal Disease (ESRD)) yang memerlukan maklumat dengan lebih lanjut atau ingin membuat temujanji, boleh melayari davita.com.my atau menelefon di nombor 012-2655277.