Sekiranya Saya Mempunyai Penyakit Buah Pinggang, Adakah Saya Perlu Menjalani Dialisis?

Pada peringkat awal CKD, anda tidak memerlukan dialisis. Keadaan ini akan memakan masa bertahun mengikut tahap CKD anda sehingga ke peringkat di mana buah pinggang anda sudah tidak berfungsi. Apabila keadaan ini berlaku, anda perlu menjalani dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk agar anda terus hidup.
 

Bila Saya Perlu Mulakan Dialisis?

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan mengesyorkan agar anda memulakan dialisis apabila fungsi buah pinggang anda telah jatuh di tahap 15% ke bawah — atau sekiranya anda mengalami gejala yang teruk akibat daripada penyakit buah pinggang anda, seperti sesak nafas, lesu, kekejangan otot, loya atau muntah-muntah. Sekiranya anda menunjukkan sebarang gejala ini, dengan teruk, doktor anda akan menentukan bila anda harus memulakan dialisis, berdasarkan pada ujian makmal yang boleh menentukan kadar peratusan kerosakan buah pinggang anda.

Pihak insurans anda atau mana-mana badan pembiayaan awam yang lain (contoh: Jabatan Perkhidmatan Awam, SOCSO, dsb) mungkin akan membiayai kos rawatan dialisis anda sekiranya perlu. Sekiranya badan anda tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan dengan CKD, anda masih tidak perlu menjalani rawatan dialisis. Memandangkan CKD berlaku secara perlahan, seringkali pesakit CKD terlepas pandang dan tidak sedar bahawa mereka memerlukan dialisis sehinggalah mereka memulakan rawatan dan berasa perubahan pada kesihatan mereka setelah dialisis dilakukan.

Adalah penting untuk anda membuat persediaan awal untuk rawatan dialisis mahupun pemindahan buah pinggang, iaitu apabila CKD anda telah memasuki peringkat 4 atau 5. Anda dapat membuat keputusan yang terbaik untuk diri anda sekiranya anda mengkaji dan mempelajari jenis-jenis dialisis dan pemindahan buah pinggang. Setiap jenis dialisis memerlukan pembedahan untuk membuat akses untuk dialisis, dan pembedahan ini harus dilakukan lebih awal bagi membolehkan luka pembedahan tersebut sembuh sebelum anda memulakan dialisis.

8 Cara Sebagai Persediaan untuk Menghadapi Dialisis

Sama ada anda mendapat rawatan pertama anda ataupun rawatan yang ke lima puluh, adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai perancangan ketika menjalani dialisis. Di sini terdapat 8 cadangan yang boleh membantu anda mengendalikan dialisis anda agar anda masih boleh menjalani kehidupan yang berkualiti.

  • Jadi Pelajar yang Berdedikasi
    Sentiasa peka kepada keadaan badan anda dan belajar sebanyak mungkin mengenai penyakit ini daripada pasukan kesihatan anda.
  • Adakan Perbincangan
    Bincang dengan keluarga dan teman-teman rapat anda mengenai kepentingan dialisis dan bagaimana perasaan anda mengenainya. Sokongan daripada orang sekeliling yang rapat dengan anda dapat membantu menyediakan anda untuk dialisis.
  • Buat Keputusan Berkaitan Dialisis
    Bincang pilihan rawatan yang sesuai untuk diri anda dengan pakar nefrologi anda agar anda dapat membuat keputusan yang bertepatan dengan keadaan penyakit anda.
  • Bincang dengan Pesakit yang Sedang Menjalani Dialisis
    Jumpa dan berbual dengan pesakit yang berada di dalam keadaan yang sama dengan anda dan sedang menjalani rawatan dialisis. Minta mereka kongsikan pengalaman mereka sebagai persediaan untuk diri anda menjalani dialisis.
  • Rancang Perjalanan Anda ke Pusat Dialisis Pilihan Anda
    Pilih pusat dialisis yang berdekatan dengan tempat tinggal atau tempat kerja anda mengikut kesesuaian masa untuk mendapatkan rawatan, agar anda tidak berhadapan dengan masalah pengangkutan.
  • Pastikan Akses untuk Dialisis Telah Tersedia
    Sebagai persediaan kepada dialisis, anda perlu menjalani satu prosedur pembedahan untuk membuat satu akses yang membolehkan darah keluar dan masuk melaui akses tersebut ke mesin dialisis. Pakar nefrologi anda akan membantu anda dengan prosedur ini sekiranya anda membuat keputusan untuk meneruskan rawatan dengan cara dialisis.
  • Teruskan dengan Pekerjaan Anda
    Sekiranya anda masih bekerja, teruskan dengan pekerjaan anda walaupun anda memerlukan dialisis kerana ianya penting untuk kesihatan anda sama ada dari segi mental mahupun dari segi kewangan. Anda boleh berbincang dengan majikan anda mengenai bagaimana untuk menyesuaikan masa bekerja anda dengan rawatan yang bakal anda jalani.
  • Pemakanan yang Sesuai dengan Buah Pinggang Anda
    Jaga pemakanan anda. Rancang pemakanan anda berdasarkan keadaan tahap penyakit buah pinggang anda dan amalkan pemakanan tersebut setiap hari. Lama kelamaan anda akan dapat menyesuaikan diri dengan cara dan jenis pemakanan yang baharu ini.

Ambil Ubat dan Kawal Keadaan

Pesakit yang menjalani dialisis seringkali perlu mengambil pelbagai jenis ubat, dan masa ubat tersebut dimakan adalah penting. Sebagai contoh, anda mungkin diberi ubat pengikat fosfat (phosphate binder), untuk diambil ketika waktu makan anda, dan vitamin buah pinggang yang perlu dimakan pada waktu yang berlainan. Ikuti nasihat berikut untuk memudahkan rutin pengambilan ubat anda:

  • Dengar dan belajar: Senaraikan segala ubatan anda, termasuklah vitamin dan makanan tambahan yang dibeli di farmasi, dan bincang dengan doktor anda tujuan setiap ubatan ini diberi kepada anda, bila ubatan ini harus dimakan dan fungsi utama setiap ubatan ini terhadap buah pinggang anda.
  • Ikut aturan: Cuba guna kotak susunan ubat untuk ubat-ubatan anda dan ambil ubat anda pada masa yang sama setiap hari (kecuali diarahkan sebaliknya oleh pakar perubatan anda).
  • Ikut peraturan: Sekiranya anda mengalami gejala sampingan disebabkan oleh pengambilan mana-mana ubat, anda harus berbincang dengan pakar perubatan anda sebelum anda membuat keputusan untuk berhenti pengambilan ubat berkenaan. Pastikan bekalan ubat anda mencukupi.
     

Kenali Ubat Anda

Ubat yang harus anda jauhi adalah ubat tahan sakit seperti ibuprofen, naproxen dan beberapa jenis vitamin tambahan yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
 

Kaji Pemakanan Ketika Dialisis

Terdapat dua perkara yang perlu anda ketahui mengenai pemakanan ketika dialisis: pertama, ianya berlainan dengan jenis pemakanan biasa anda, dan kedua, jangan buat perubahan yang mendadak. Ramai pesakit akan mengeluh kerana sudah tidak boleh mengambil pemakanan yang biasa mereka makan ketika sihat. Namun, perlu anda ingati dan fahami bahawa perubahan ini adalah untuk menjamin kesihatan dan agar anda masih dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Anda boleh menggunakan peluang ini sebagai cabaran untuk mencuba sesuatu yang baharu di samping menyihatkan kesihatan. Rancang pemakanan anda dan mungkin anda boleh berkongsi cara pemakanan yang sihat ini bersama dengan keluarga anda. Tentunya ia sesuatu yang menyeronokkan kerana ia merupakan perubahan yang membawa ke arah kebaikan.
 

Persediaan Untuk Diri dan Pasukan Kesihatan Anda

Apabila anda telah membuat keputusan untuk menjalani dialisis, perkara pertama yang harus anda lakukan adalah dengan memberitahu pasukan kesihatan anda seperti doktor yang merawat penyakit buah pinggang anda, doktor yang merawat penyakit kencing manis anda, pakar yang merawat jantung anda (sekiranya ada) dan juga ahli keluarga dan sahabat terdekat anda. Mereka perlu mengetahui bila anda akan menjalani rawatan kerana dialisis akan mempengaruhi ujian makmal anda, matlamat kesihatan anda dan juga ubat yang diberi kepada anda.

Terdapat beberapa pilihan rawatan dialisis yang boleh anda pilih mengikut kesesuaian gaya hidup anda, seperti sama ada anda ingin melakukan dialisis di rumah atau pun di pusat dialisis.
 

Peritoneal dialisis (PD)

PD merupakan satu rawatan dialisis yang boleh dilakukan di rumah. Rawatan ini menggunakan lapisan abdomen (atau perut) untuk menapis bahan kumuh daripada darah. Rawatan ini bersesuaian dengan pesakit yang takutkan jarum kerana ia dilakukan tanpa perlu menyuntik mana-mana bahagian badan. Antara kelebihan PD ini adalah:

  • Anda boleh mengawal rawatan anda sendiri dengan mengikut kesesuaian masa anda
  • Peluang yang lebih besar untuk mencapai kepentingan peribadi
  • Pemuliharaan kepada peratusan buah pinggang yang masih boleh berfungsi, membawa kepada peningkatan hasil klinikal
  • Sekiranya pemindahan buah pinggang dilakukan kemudian, hasil penerimaan buah pinggang baharu adalah lebih baik

 

Haemodialisis di Pusat Rawatan

Haemodialisis di pusat rawatan memerlukan anda berulang ke pusat rawatan tersebut sebanyak tiga kali seminggu. Ia menggunakan mesin untuk menapis darah anda agar bersih daripada bahan kumuh dan toksin. Antara kelebihan melakukan dialisis di pusat rawatan adalah:

  • Peluang untuk bersosial dengan pesakit lain dan kakitangan yang bekerja di pusat rawatan
  • Mempunyai pasukan penjagaan yang sesuai dengan keadaan penyakit anda
  • Tidak memerlukan anda menyimpan bekalan di rumah

Kami di DaVita mengambil berat dan akan membantu anda menempuh alam kehidupan baharu anda bersama rawatan dialisis. Kami amat memahami perasaan anda dan keluarga anda di saat yang mencabar ini. Proses dialisis dan segala yang berkaitan dengan penyakit buah pinggang ini nampak rumit, namun kami akan bersama anda di setiap perjalanan kehidupan anda dan keluarga di dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan baharu ini.

Kami menyediakan buku panduan komprehensif ini untuk membantu anda memahami dengan lebih terperinci mengenai dialisis – bermula daripada proses rawatan, yang meliputi ujian darah yang menjadi ukuran pemantauan, ubat-ubatan yang harus anda ambil dan juga pemakanan serta nutrisi yang akan kami cadangkan dan galakkan.

Kami percaya bahawa ilmu pengetahuan adalah sumber kuasa kekuatan dan kami harap agar buku panduan ini menjadi kuasa pembakar semangat yang anda perlukan ketika ini. Jika tidak, jangan malu untuk bertanya! Anggaplah pasukan dialisis ini sebagai sebahagian daripada ahli keluarga anda dan beri kami peluang untuk membantu anda.

Perjalanan anda ke arah kehidupan yang sihat bermula di sini!