Apa Itu Penyakit Buah Pinggang/Chronic Kidney Disease (CKD)?
Antara jenis penyakit buah pinggang yang sering berlaku adalah seperti berikut:
- Penyakit buah pinggang kronik/chronic kidney disease (CKD)
- Kecederaan buah pinggang acute
Definisi penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah apabila buah pinggang tidak lagi dapat membersihkan toksin dan bahan buangan daripada darah dan melaksanakan fungsinya dengan kapasiti penuh. Masalah buah pinggang ini boleh berlaku secara kemerosotan progresif atau berterusan dari semasa ke semasa.
Terdapat juga kes kecederaan buah pinggang acute (dahulunya dikenali sebagai kegagalan buah pinggang acute) iaitu suatu kehilangan mendadak fungsi buah pinggang, biasanya dalam beberapa jam atau beberapa hari. Namun, ini agak jarang berlaku.
Kepentingan Mengetahui Tahap Penyakit Buah Pinggang
Mengetahui tahap penyakit buah pinggang anda adalah penting bagi menentukan pelan rawatan yang bersesuaian. CKD mempunyai lima peringkat, bermula daripada fungsi buah pinggang yang hampir normal (peringkat 1) sehinggalah terjadinya kegagalan buah pinggang atau sakit buah pinggang peringkat akhir atau end-stage kidney disease (ESKD). Pada peringkat 5 ini, buah pinggang hanya berfungsi di bawah 10–15 peratus daripada kapasiti normalnya.
Memahami apa itu sakit buah pinggang dan peringkat mana anda berada dapat membantu anda mengetahui cara menguruskan penyakit ini dengan sewajarnya. Dalam kebanyakan kes, ESKD hanya berlaku selepas bertahun-tahun pesakit tersebut telah hidup dengan penyakit buah pinggang.
Walau apa pun keadaannya, jika anda telah didiagnosis dengan ESKD, anda perlu menerima dialisis atau pemindahan buah pinggang untuk mengekalkan kesihatan anda. Jika anda dan pakar nefrologi anda bersetuju untuk pemindahan buah pinggang, anda mungkin memerlukan dialisis sementara menunggu penderma buah pinggang yang sesuai. DaVita menawarkan banyak pilihan perkhidmatan yang sesuai dengan keadaan anda.
Memahami Buah Pinggang Anda Sebagai Cara Mencegah Sakit Buah Pinggang
Memahami cara buah pinggang berfungsi merupakan langkah pertama dalam mengawal tahap kesihatan buah pinggang anda. Mengikuti diet pemakanan yang sesuai untuk buah pinggang, tidak merokok, serta menjaga kondisi diabetes, hipertensi (tekanan darah tinggi) dan keadaan kesihatan yang lain boleh membantu buah pinggang anda berfungsi dengan lebih baik dan lebih lama, walaupun anda mengalami gejala penyakit buah pinggang.
Buah pinggang anda memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal kesihatan anda secara keseluruhan. Ia membentuk sistem penapisan badan anda, membersihkan bahan buangan dan menghilangkan cecair yang berlebihan daripada badan anda, serta menghasilkan bahan-bahan kimia yang diperlukan untuk badan anda berfungsi. Apabila buah pinggang sakit, fungsi-fungsi penting ini akan terganggu.
Bolehkah Anda atau Orang yang Anda Sayangi Berisiko dengan Punca Penyakit Buah Pinggang?
Antara punca sakit buah pinggang termasuklah:
- Sakit kencing manis atau diabetes
- Tekanan darah tinggi atau hipertensi
- Penyakit kardiovaskular
- Sejarah keluarga yang menghidap penyakit buah pinggang
- Umur 55 tahun ke atas
Jika anda mungkin berisiko dengan faktor sakit buah pinggang di atas, pertimbangkan untuk menjadualkan pemeriksaan buah pinggang dengan pengamal perubatan anda sebagai permulaan untuk pemeriksaan yang lebih lanjut.
Apakah Gejala Penyakit Buah Pinggang?
Selain mengetahui sebab sakit buah pinggang terjadi, mengambil tahu gejala penyakit ini juga adalah sangat penting. Mengetahui simptom awal sakit buah pinggang boleh membantu orang ramai mengesannya dengan lebih awal untuk mendapatkan rawatan. Antara gejala penyakit buah pinggang termasuklah:
- Perubahan air kecil — Membuang air kecil dalam jumlah yang lebih besar atau lebih kecil daripada biasa, merasa tekanan semasa membuang air kecil, perubahan warna air kecil, air kecil berbuih atau terpaksa bangun malam untuk membuang air kecil dengan kerap.
- Bengkak kaki, buku lali, tangan atau muka — Cecair yang tidak dapat dikeluarkan oleh buah pinggang berkemungkinan terkumpul di dalam tisu badan.
- Keletihan atau berasa lemah — Ini berlaku kerana pengumpulan toksin atau kekurangan sel darah merah (anemia) apabila buah pinggang mula gagal untuk berfungsi.
- Sesak nafas — Kegagalan buah pinggang kadangkala dikelirukan dengan asma atau kegagalan jantung kerana cecair boleh terkumpul di dalam paru-paru.
- Rasa logam di dalam mulut — Pengumpulan sisa dalam badan boleh menyebabkan nafas berbau, perubahan rasa atau rasa tidak suka terhadap makanan kaya protein seperti daging.
- Sakit belakang atau sisi — Rasa sakit buah pinggang yang terletak di kedua-dua belah tulang belakang, di bahagian belakangnya.
- Berasa gatal di badan — Pembentukan sisa dalam badan boleh menyebabkan kegatalan yang teruk, terutamanya pada kaki.
- Hilang selera makan.
- Loya dan muntah.
Jika anda merasa atau tertanya-tanya kenapa buah pinggang anda sakit, anda haruslah berbincang dengan doktor mengenai kebimbangan anda. Lebih-lebih lagi, jika anda mempunyai masalah kesihatan lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, yang merupakan antara punca masalah buah pinggang. Selain itu, mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap sakit ini juga merupakan antara faktor penyakit buah pinggang yang perlu anda awasi.
Bagaimana Saya Ingin Mengetahui Jika Saya Menghidap Penyakit Buah Pinggang?
Penyakit buah pinggang boleh didapati atau disahkan melalui ujian makmal. Tahap kreatinin dan urea yang tinggi dalam darah atau tahap protein yang tinggi dalam air kencing anda merupakan tanda-tanda sakit buah pinggang. Jika anda menghidap diabetes yang merupakan antara penyebab penyakit buah pinggang, anda harus menjalani ujian air kencing setiap tahun untuk mengesan kehadiran mikroalbumin dan sejumlah kecil protein yang tidak dapat dikesan melalui ujian protein air kencing standard.
Jika Saya Mempunyai Tanda-tanda Penyakit Buah Pinggang, Apa Yang Perlu Saya Lakukan?
Selepas anda menjalani ujian saringan asas dan anda mempunyai tanda-tanda atau faktor-faktor penyebab buah pinggang sakit, anda harus meminta rujukan kepada pakar nefrologi, iaitu pakar dalam merawat penyakit ini. Pakar nefrologi akan melakukan penilaian lanjut ke atas anda. Mereka juga akan mencadangkan ubat-ubatan atau perubahan gaya hidup untuk membantu memperlahankan perkembangannya.
Peringkat Penyakit Buah Pinggang
Dengan penyakit buah pinggang kronik/chronic kidney disease (CKD), buah pinggang biasanya tidak gagal secara sekaligus serta-merta. Sebaliknya, penyakit buah pinggang selalunya berkembang dengan perlahan-lahan dalam tempoh beberapa tahun. Ini adalah bagus kerana jika CKD dikesan lebih awal, ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup boleh membantu dalam memperlahankan perkembangannya.
Peringkat sakit buah pinggang kronik dibahagikan kepada lima, setiap satunya memerlukan ujian dan rawatan yang berbeza.
Apakah lima peringkat penyakit buah pinggang kronik?
Terdapat lima peringkat atau tahap sakit buah pinggang kronik. Peringkat 1 adalah yang paling hampir dengan fungsi buah pinggang yang sihat, dan Penyakit Buah Pinggang Kronik Peringkat 5 atau dikenali sebagai kegagalan buah pinggang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Kadar Penurasan Glomerular atau glomerular filtration rate (GFR), memberikan anggaran fungsi buah pinggang. Contohnya, jika GFR anda adalah 26, ini bermakna buah pinggang anda berfungsi pada kira-kira 26 peratus daripada kadar normal.
RINGAN
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 1, GFR > 90
- Kerosakan buah pinggang yang kecil.
- Buah pinggang berfungsi sama seperti buah pinggang biasa.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 2, GFR 89-60
- Kerosakan buah pinggang dengan kehilangan fungsi buah pinggang yang ringan.
- Sedikit atau tiada simptom.
- Dapat diurus melalui diet yang sihat dan regulasi tekanan darah.
SEDERHANA
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 3A, GFR 59-45
- Kerosakan buah pinggang ringan hingga sederhana.
- Buah pinggang tidak berfungsi dengan baik sebagaimana sepatutnya.
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 3B, GFR 44-30
- Mungkin mengalami keletihan, perubahan membuang air kecil, masalah tidur dan rasa sakit di buah pinggang.
- Dapatkan nasihat doktor anda tentang diet mesra buah pinggang, pengurusan tekanan darah tinggi dan preskripsi ubat yang mungkin membantu meredakan sakit dan gejala anda.
TERUK
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 4, GFR 29-15
- Mungkin mengalami tekanan darah tinggi, anemia, penyakit tulang atau penyakit kardiovaskular.
- Gejala termasuk keletihan, loya, perubahan rasa, masalah saraf, sukar tidur serta kurang selera makan dan tenaga.
- Dapatkan nasihat doktor mengenai sebab penyakit buah pinggang menjadi semakin teruk, cara untuk menjaga, dan bertanya tentang pemindahan buah pinggang.
- Pakar diet juga boleh membantu menguruskan diet anda.
PENYAKIT BUAH PINGGANG TAHAP AKHIR/END-STAGE RENAL DISEASE (ESRD)
PENYAKIT BUAH PINGGANG KRONIK PERINGKAT 5, GFR < 15
- Gejala termasuk kehilangan selera makan, loya, gatal-gatal, bengkak serta perubahan air kecil menjadi sedikit atau tiada.
- Pilihan rawatan termasuk dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Penyakit Buah Pinggang & Seksualiti (Disfungsi Erektil & Hubungan Intim)
Sesetengah pesakit cuba mengelakkan aktiviti seksual, kerana bimbang ia menjadi penyebab sakit buah pinggang menjadi semakin teruk. Jika anda merupakan salah seorangnya, anda perlu memahami bahawa tiada larangan ke atas aktiviti seksual untuk anda. Jika ia tidak memberi sebarang tekanan pada akses darah atau buah pinggang yang dipindahkan, maka ia sepatutnya tidak menjadi masalah.
Walau bagaimanapun, ia adalah penting untuk merujuk kepada doktor jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai keadaan buah pinggang dan hubungan intim. Sebagai contoh, jika anda mempunyai luka selepas pembedahan pemindahan buah pinggang atau mengalami simptom penyakit buah pinggang kronik, sebaiknya dapatkan nasihat doktor anda sebelum meneruskan sebarang senaman berat, termasuklah hubungan seksual.
Penyakit Buah Pinggang & Kehidupan Secara Umum
Kehidupan anda mungkin berbeza setelah anda menghidap Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD), namun anda masih boleh menikmatinya. Ambil masa untuk memahami perubahan yang berlaku dalam hidup anda. Berikut merupakan beberapa tips yang boleh membantu anda menjalani kehidupan dengan baik:
- Dapatkan segala maklumat yang perlu mengenai kenapa buah pinggang sakit dan keadaan diri anda daripada pakar yang menjaga anda. Ketahui cara untuk memanfaatkan maklumat-maklumat tersebut dalam kehidupan seharian.
- Yakin pada kebolehan diri anda! Ambil CKD sebagai suatu cabaran yang perlu dihadapi secara langsung. Terdapat ramai orang dan banyak sumber yang boleh membantu anda untuk penjagaan dan kehidupan yang baik walaupun dengan CKD.
- Ketahui tentang ubat-ubatan yang ada untuk penyakit buah pinggang kronik, dos yang betul serta nama dan tujuannya. Sesetengah ubat, seperti jenis pil tekanan darah yang tertentu (please review if this is right. is it “kategori” or “dos” instead of “kelas”? boleh melambatkan perkembangan penyakit buah pinggang. Dapatkan pandangan doktor mengenai apa yang terbaik untuk anda.
- Ambil tahu nilai ujian makmal anda dari semasa ke semasa dan fahami maksud ujian tersebut. Pakar anda mempunyai pengetahuan yang luas dalam penyakit buah pinggang, tetapi andalah yang lebih mengetahui tentang diri anda.
- Bertanggungjawab atas kesihatan diri anda dan bertindak sewajarnya. Tanya doktor jika anda tidak memahami sesuatu atau merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tanyakan juga tentang soalan dan cara untuk meningkatkan tahap kesihatan anda.
- Ketahui simptom penyakit buah pinggang kronik dan sentiasa beritahu simptom anda kepada doktor anda. Sesetengah masalah, seperti keletihan, boleh dirawat untuk membantu anda berasa lebih baik.
- Bekerjasama dengan doktor dan pakar diet anda untuk menentukan garis panduan pemakanan mesra buah pinggang yang sesuai dengan keadaan anda. Amalkan disiplin dalam mengikuti diet tersebut dan lihat hasilnya.
- Lakukan senaman dengan kerap dan berhemah. Dapatkan nasihat doktor mengenai tahap senaman yang sesuai untuk anda.
- Teruskan bekerja jika mampu. Walaupun anda mungkin mengambil sedikit cuti untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baharu, cuba untuk tetap terus bekerja walaupun secara sambilan mahupun sepenuh masa. Bekerja merupakan salah satu cara yang baik untuk kekal aktif.
- Cari maklumat dan rancang untuk kewangan yang diperlukan bagi rawatan CKD. Terdapat sumber-sumber seperti pertubuhan pesakit buah pinggang yang mungkin dapat membantu dari segi kewangan.
- Tanya doktor anda mengenai julat tekanan darah yang elok untuk anda. Cuba untuk mengawal keadaan tekanan darah anda. Kajian menunjukkan hal ini dapat membantu memperlahankan penyakit buah pinggang daripada menjadi lebih teruk.
- Jika anda mempunyai diabetes, mengawal paras gula anda juga dapat membantu. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk mengawal paras gula, dapatkan nasihat doktor atau minta rujukan kepada pakar diabetes.
- Ketahui dan sentiasa awasi kemungkinan komplikasi penyakit buah pinggang, termasuklah anemia, asidosis metabolik, penyakit tulang, penyakit kardiovaskular, kelebihan cecair serta potassium dan fosforus yang tinggi. Setiap satu daripada ini boleh dikesan dengan ujian yang betul; tambahan pula, anda juga boleh melakukan banyak perkara yang dapat mengelakkan komplikasi ini jika anda mengambil tahu dari awal.
- Jika penyakit buah pinggang anda sudah teruk, tentukan sama ada anda ingin menyertai senarai menunggu pemindahan atau semak kemungkinan pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup yang sesuai dan bersetuju untuk mendermakan buah pinggang mereka.
- Jika anda menjalani dialisis, jalani semua rawatan yang diarahkan oleh doktor anda. Beri kerjasama kepada mereka untuk memastikan anda sentiasa dalam keadaan yang baik. Pantau Kt/V atau URR anda (ukuran sama ada darah anda dibersihkan dengan secukupnya) dan bacaan ujian makmal lain dari semasa ke semasa; ketahui perkara yang perlu dilakukan untuk menambah baik keputusan ujian anda jika ianya tidak memuaskan.
- Jika anda telah menjalani pemindahan buah pinggang, ambil semua ubat anda mengikut jadual. Awasi sebarang tanda jangkitan, penolakan ubat atau penyakit lain.
- Beri perhatian kepada emosi anda. Berikan diri anda masa untuk menyesuaikan diri. Anda mungkin berhadapan dengan ketidakpastian tentang masa depan atau dengan perubahan dalam gaya hidup dan perhubungan anda. Ini adalah normal, namun dapatkan bantuan profesional jika perlu.
- Jadikan CKD sebagai satu cara untuk anda lebih menghargai kehidupan; lakukan perkara-perkara yang bermakna dan memberi kegembiraan kepada anda.