8 Cara Sebagai Persediaan untuk Menghadapi Dialisis
Sama ada anda mendapat rawatan pertama anda ataupun rawatan yang ke lima puluh, adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai perancangan ketika menjalani dialisis. Di sini terdapat 8 cadangan yang boleh membantu anda mengendalikan dialisis anda agar anda masih boleh menjalani kehidupan yang berkualiti.
- Jadi Pelajar yang Berdedikasi
Sentiasa peka kepada keadaan badan anda dan belajar sebanyak mungkin mengenai penyakit ini daripada pasukan kesihatan anda. - Adakan Perbincangan
Bincang dengan keluarga dan teman-teman rapat anda mengenai kepentingan dialisis dan bagaimana perasaan anda mengenainya. Sokongan daripada orang sekeliling yang rapat dengan anda dapat membantu menyediakan anda untuk dialisis. - Buat Keputusan Berkaitan Dialisis
Bincang pilihan rawatan yang sesuai untuk diri anda dengan pakar nefrologi anda agar anda dapat membuat keputusan yang bertepatan dengan keadaan penyakit anda. - Bincang dengan Pesakit yang Sedang Menjalani Dialisis
Jumpa dan berbual dengan pesakit yang berada di dalam keadaan yang sama dengan anda dan sedang menjalani rawatan dialisis. Minta mereka kongsikan pengalaman mereka sebagai persediaan untuk diri anda menjalani dialisis. - Rancang Perjalanan Anda ke Pusat Dialisis Pilihan Anda
Pilih pusat dialisis yang berdekatan dengan tempat tinggal atau tempat kerja anda mengikut kesesuaian masa untuk mendapatkan rawatan, agar anda tidak berhadapan dengan masalah pengangkutan. - Pastikan Akses untuk Dialisis Telah Tersedia
Sebagai persediaan kepada dialisis, anda perlu menjalani satu prosedur pembedahan untuk membuat satu akses yang membolehkan darah keluar dan masuk melaui akses tersebut ke mesin dialisis. Pakar nefrologi anda akan membantu anda dengan prosedur ini sekiranya anda membuat keputusan untuk meneruskan rawatan dengan cara dialisis. - Teruskan dengan Pekerjaan Anda
Sekiranya anda masih bekerja, teruskan dengan pekerjaan anda walaupun anda memerlukan dialisis kerana ianya penting untuk kesihatan anda sama ada dari segi mental mahupun dari segi kewangan. Anda boleh berbincang dengan majikan anda mengenai bagaimana untuk menyesuaikan masa bekerja anda dengan rawatan yang bakal anda jalani. - Pemakanan yang Sesuai dengan Buah Pinggang Anda
Jaga pemakanan anda. Rancang pemakanan anda berdasarkan keadaan tahap penyakit buah pinggang anda dan amalkan pemakanan tersebut setiap hari. Lama kelamaan anda akan dapat menyesuaikan diri dengan cara dan jenis pemakanan yang baharu ini.